Kisah kehilangan otak Albert Einstein adalah salah satu
cerita yang menarik dan penuh kontroversi dalam sejarah sains. Selepas kematian
Einstein pada tahun 1955, otaknya telah diambil tanpa mendapat keizinan
keluarganya. Ianya telah menjadi subjek dalam pelbagai kajian dan perdebatan
selama bertahun-tahun.
Sebelum tu, siapa Albert Einstein ni?
Albert Einstein ialah seorang ahli fizik teori yang dianggap
sebagai salah satu saintis paling berpengaruh dalam sejarah. Dilahirkan pada 14
Mac 1879 di Ulm, Jerman, Einstein terkenal dengan teori relativiti umum, yang
mengubah pemahaman kita tentang ruang, masa, dan graviti. Beliau juga memainkan
peranan penting dalam pembangunan mekanik kuantum dan menyumbang secara besar
kepada pelbagai bidang lain dalam fizik
Pelbagai teori-teori fizik yang beliau hasilkan dan antara
yang paling famous ialah Teori Relativiti Khas. Dalam teori ini beliau
menyatakan konsep bahawa masa dan ruang adalah relatif dan tidak mutlak. Ia
membawa kepada persamaan terkenal, E=mc², yang menunjukkan hubungan
antara tenaga dan jisim.
Albert Einstein meninggal dunia pada 18 April 1955 di
Princeton Hospital, New Jersey, pada usia 76 tahun akibat pendarahan dalaman
yang disebabkan oleh aneurisma aorta perut. Dalam wasiatnya beliau menyatakan agar
tubuhnya dibakar dan abunya dikebumikan secara rahsia bagi mengelakkan pemujaan
terhadap tubuh fizikalnya. Walau bagaimanapun selepas kematiannya, Dr. Thomas
Stoltz Harvey, seorang ahli patologi yang bertugas di hospital tersebut,
melakukan autopsi ke atas Einstein.
Ketika autopsi dijalankan, Dr. Harvey mengambil keputusan
untuk mengeluarkan otak Einstein tanpa mendapat persetujuan daripada ahli
keluarganya. Otak tersebut diambil dengan niat untuk memahami apa yang
menjadikan Einstein seorang genius. Dr. Harvey percaya bahawa dengan mengkaji
otak Einstein, mereka dapat menemui perbezaan struktur atau fisiologi yang
mungkin menjelaskan kecemerlangannya dalam bidang sains.
Selepas mengambil otak Einstein, Dr. Harvey membahagikannya
kepada kira-kira 240 kepingan kecil. Dia kemudian menyimpan otak tersebut di
dalam dua balang formaldehid di rumahnya. Pada ketika tindakan Dr. Harvey
diketahui, ia menimbulkan kemarahan ahli keluarga Einstein terutamanya anaknya,
Hans Albert Einstein yang tidak memberikan kebenaran untuk otak ayahnya dikekalkan
atau dikaji. Walaupun begitu setelah beberapa perbincangan dan rundingan yang
dijalankan, Hans Albert akhirnya bersetuju dengan syarat yang kajian ke atas
otak ayahnya dilakukan dengan tujuan ilmiah yang bermakna.
- Kawasan
parietal yang lebih besar, bahagian otak yang berkaitan dengan
pemikiran matematik dan kemampuan ruang visual.
- Nisbah
sel glia kepada neuron yang lebih tinggi di bahagian tertentu otaknya,
yang dianggap berkaitan dengan pemprosesan maklumat.
Walau bagaimanapun, penemuan-penemuan ini menimbulkan
perdebatan dalam komuniti saintifik. Ramai saintis berhujah bahawa otak
Einstein tidak boleh dianggap unik hanya berdasarkan ukuran atau bentuk
tertentu, kerana terlalu banyak faktor lain yang mempengaruhi kecerdasan
seseorang, termasuk pengalaman hidup dan persekitaran.
Akibat daripada pengambilan otak tersebut, Dr. Harvey dilucutkan
jawatannya di hospital kerana menolak untuk mengembalikan semula otak Einstein.
Dia kemudian berpindah ke pelbagai tempat di Amerika Syarikat, membawa otak
tersebut bersamanya. Selama beberapa dekad, otak Einstein
"mengembara" bersama Dr. Harvey, yang menyimpannya di dalam balang
dan peti sejuk.
Pada tahun 1970-an dan 1980-an, beberapa bahagian otak
Einstein dihantar kepada pelbagai penyelidik untuk dikaji. Namun, tiada
penemuan yang benar-benar konklusif yang dapat menjelaskan mengapa Einstein
begitu cerdas. Pada tahun 1998, Dr. Harvey akhirnya memulangkan sisa-sisa otak
Einstein yang masih ada kepada Princeton Hospital.
Cerita mengenai otak Einstein telah menjadi sebahagian
daripada legenda moden yang melibatkan sains, genius, dan etika. Banyak yang
mempertikaikan tindakan Dr. Harvey mengambil otak tanpa kebenaran, dan isu ini
menimbulkan persoalan etika tentang hak tubuh selepas kematian. Pada masa yang
sama, otak Einstein menjadi simbol kepada pencarian manusia untuk memahami
kecerdasan, kreativiti, dan misteri otak manusia.
Walaupun pelbagai kajian telah dilakukan terhadap otak
Albert Einstein, tiada penemuan saintifik yang pasti yang dapat menjelaskan
kecemerlangan intelektualnya. Kisah otaknya lebih banyak dilihat sebagai cerita
yang aneh, pelik dan penuh kontroversi, yang melibatkan keghairahan saintifik
untuk memahami kecerdasan manusia serta konflik antara sains dan etika.
Kehidupan Einstein sendiri telah banyak meninggalkan legasi tetapi kisah
mengenai otaknya tetap menjadi salah satu cerita yang menarik perhatian dalam
sejarah sains.
0 Ulasan